Powered by Blogger.

RSS
Container Icon

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)

Assalamualaikum para blogger semua..hihi..harap semuanya dalam keadaan sihat hendakNya.,

Sebagai mukaddimah, kami ingin bertanya sedikit..anda semua pernah dengar apa itu Falsafah Pendidikan Kebangsaan ataupun singkatannya FPK?.

Sebelum kami masuk ke dalam bidang perguruan kami pernah dengar tapi tak pernah ambil tahu..maklumlah masa tu belum jadi guru lagi..tetapi bila kami sudah masuk alam pendidikan ni setiap guru di Malaysia di semenanjung Malaysia mahupun di Sabar Sarawak mesti kena tahu dan perlu hafal apa itu Falsafah Pendidikan Kebangsaan..Guru-guru seperti kami juga perlu tahu maksud bagi setiap elemen yang terkandung dalam FPK..konon-kononnye macam set induksi la..Ok tanpa membuang masa mari kita lihat apa itu Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta maksud bagi setiap elemen dan juga keterangan serba sedikit berkaitan FPK ini..

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

Falsafah pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia dekenali sebagai FPK. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.

Salah satu yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang manusia yang berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan agama. Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan semua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara. Berilmu dan berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia yang sekali gus menjadi cirri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang baik dan terdidik.

Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidkan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada manusia.

FPK juga melihat individu itu dalam beberapa lapisan pertalian atau perhubungan. Tujuan pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan kesejahteraan diri individu tetapi juga untuk pembangunan dan kesejahteraan setiap lapisan hubungan individu berkenaan bermula dengan keluarga, meluas kepada masyarakat dan negara.

Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti.

Seterusnya, marilah kita mengkaji maksud yang tersirat setiap elemen yang terdapat dalam FPK. Pendidikan adalah suatu usaha berterusan bermaksud pendidikan merupakan satu proses pemorelahan dan pemindahan ilmu serta kemahiran dan nilai murni yang berlaku secara berterusan dari kecil sehinggalah ke akhir hayat. Jadi, pendidikan yang bermula dari awal kanak-kanak amatlah penting untuk membentuk asas sahsiah kanak-kanak dalam lingkungan umur antara satu hingga enam tahun. Sahsiah yang dibentuk kemudiannya akan terus berkembang sepanjang tempoh persekolahan. Apabila tamat persekolahan, setiap individu masih juga perlu untuk meneruskan peningkatan ilmu, kemahiran dan akhlak mereka. Oleh itu, proses pendidikan yang berterusan ini mampu untuk membantu individu menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan.

Perkembangan potensi individu pula bermaksud setiap individu telah pun dianugerahkan bakat, potensi dan kebolehan yang mungkin terpendam. Bakat, potensi dan kebolehan ini sebenarnya dapat dicungkil, dipupuk atau dikembangkan lagi bagi menyerlahkanya. Melalui interaksi sosial dengan orang lain atau pun peredaran alam sekitar dapat menjelmakan bakat, potensi serta kebolehan seseorang individu. Oleh sebab itu, setiap individu perlukan pendidikan kerana pendidikan boleh memperkembangkan lagi bakat, potensi dan kebolehan mereka.

Antara maksud bagi elemen perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu pula ialah, bakat, potensi dan kebolehan tidak boleh dikembangkan secara berasingan sebaliknya perlu dihubungkait atau diselaraskan bagi mengelakkan pertentangan antara satu sama lain. Sekurang-kurangnya, perkembanga bakat, potensi serta kebolehan mestilah merangkumi keempat-empat aspek iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Elemen insan yang seimbang dan harmonis pula ialah, setiap individu mestilah mempunyai ilmu (intelek), sahsiah yang baik (emosi), percaya kepada tuhan serta mempunyai akhlah yan terpuji (rohani) serta kesihatan diri yang baik (jasmani). Keempat-empat aspek tadi perlulah seimbang untuk menghasilkan individu yang mampu hidup secara harmonis dengan diri dan juga orang lain. Individu seperti ini tidak akan mempunyai sebarang masalah dalam menempuh apa juga cabaran kehidupan dan mampu menghadapi serta menyelesaikan pelbagai masalah dengan baik.

Unsur intelek ialah mempunyai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Selain itu, setiap individu mestilah sentiasa berusaha untuk mengembangkan lagi ilmu yang benar. Unsur intelek juga ialah berkemahiran dalam berfikir secara kreatif, kritikal dan reflektif. Untuk terus memastikan kemajuan dalam keluarga masyarakat dan negera, individu perlu untuk berkonsi ilmu dengan orang lain dan persekitaran.

Menyedari dan percaya kepada Tuhan ialah salah satu daripada unsur rohani. Kita mestilah bersyukur dengan pemberian tuhan dan mempunyai akhlak yang mulia dan berpegang dengan nilai-nilai murni supaya dipandang tinggi oleh masyarakat.

Unsur emosi pula ialah mempunyai emosi yang matang dan stabil serta dapat memiliki dan memupuk perasaan kasih saying sesama insan. Mempunyai sifat kekitaan dan perpaduan amatlah penting bagi mengeratkan serta mengukuhkan lagi kekuatan masyarakat kita yang berbilang kaum dan bangsa.

Unsur yang terakhir ialah unsur jasmani. Unsur ini ialah menyedari tentang kepentingan kesihatan fizikal. Mestilah mengembangkan bakat dan kemahiran teknikal, manipulative dan sosial. Menggunakan kemahiran kecergasan fizikal untuk memanfaatkan masyarakat.
Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan merupakan satu elemen yang amat penting dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kita mesti mengakui tentang kewujudan Tuhan dan mengakui bahawa Tuhan sebagai pencipta manusia dan alam. Selain itu, kita juga mesti menyedari bahawa setiap fenomena alam merupakan peraturan yang telah ditetapkan oleh tuhan. Setiap individu mesti bertanggungjawab ke atas segala perbuatan dan tindakannya. Setiap individu juga mesti mengamalkan setiap ajaran agama yang dianutinya.

Elemen yang lain ialah, rakyat Malaysia yang berilmu tinggi. Setiap individu mestilah menyintai ilmu pengetahuan. Jika kita cinta akan ilmu, kita akan berminat untuk menuntut pelbagai ilmu kerana ilmu itu luas. Dalam FPK, terdapat juga rakyat Malaysia yang berketerampilan, berakhlak mulia, serta bertanggungjawab.Berketerampilan bermaksud mempunyai kecekapan dan kompetensi diri serta berkebolehan untuk menjalankan tugas dengan sempurna. Berketerampilan boleh dipupuk dalam setiap diri individu jika mempunyai kekuatan dalam intelek, rohani, emosi dan jasmani. Manakala berakhlak mulia pula ialah mempunyai perwatakan diri yang baik dan berpegang kepada nilai-nilai murni dan moral sebagai prinsip hidup. Untuk memastikan kita hidup dalam masyarakat yang harmoni dan bersepadu, nilai-nilai moral yang baik perlu untuk menjamin masa depan negara. Bertanggunjawab pula bermaksud boleh dipercayai serta menyedari bahawa setiap tugas dan tanggungjawab merupakan amanah dan harus dilaksanakan dengan baik. Sebgai rakyat Malaysia, kita mesti menjalankan tanggungjawab kita dan mematuhi rukun negara. Contohnya mematuhi undang-undang ataupun peraturan yang telah digubal oleh kerajaan.

Rakyat Malaysia yang berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta mampu memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara merupakan elemen yang penting dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kita sebagai rakyat Malaysia perlu berfikiran waras dan berjiwa tenang bagi menghadapi cabaran hidup yang semakin mencabar. Setiap individu juga perlu berusaha untuk memupuk perpaduan rakyat melalui sifat toleransi, bertimbang rasa, kekitaan, hormat-menghormati dan bertolak ansur bagi mengukuhkan lagi perpaduan sesama rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini. Untuk memberi sumbangan terhadap keharmonian negara kita perlu berusaha untuk memajukan ekonomi negara, mengekalkan kestabilan politik serta mematuhi perlembagaan dan peraturan negara.

Kita juga mesti berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri dan dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga masyarakat dan negara. Untuk mencapai kesejahteraan diri, individu perlu mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang tinggi. Berkebolehan untuk mengharungi liku-liku hidup juga amatlah perlu. Seperti elemen yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, individu yang mampu mencapai kesejahteraan diri akan mampu untuk member sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment